PRESSREADER.com

PressReader Press Release

Custlr lancar aplikasi mudah alih tawar pengukuran kemeja dijahit khusus

KUALA LUMPUR: Custlr melancarkan aplikasi mudah alih pertama Malaysia menawarkan pengukuran kemeja dijahit khusus yang sempurna dengan menggunakan teknologi algoritma berasaskan perisian dan persamaan dalaman untuk mendapatkan hasil yang tepat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah, Daniel Chua berkata teknologi algoritma itu menyediakan ukuran tepat dalam inci dan sentimeter, serta pensaizan standard, iaitu S, M, L dan XL.

“Kaedah ukuran lain termasuk algoritma sesuai dengan A4, membolehkan pelanggan mengambil gambar dengan kertas bersaiz A4 di letakkan di bahagian hadapan dan di sisi badan mereka serta membuat ukuran khusus, apabila pelanggan memasukkan ukuran badan mereka secara manual mengikut panduan satu persatu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Chua berkata, Custlr membolehkan pelanggan memilih material yang digemari, jenis manset dan kolar, serta pilihan warna, termasuk bagi pakaian tradisional seperti Baju Melayu dan Kurta.

Sementara itu, Custlr menyasar untuk menggunakan pendekatan penyumberan masyarakat bagi membantu suri rumah dan golongan yang tidak mempunyai pekerjaan memperolehi pendapatan.

Ia juga memberi peluang untuk mereka menjadi usahawan tanpa mengabaikan tanggungjawab isi rumah masing-masing.

Tukang jahit yang diwujudkan melalui pendekatan sumber masyarakat itu berpeluang mengikuti kursus latihan untuk memastikan kualiti dan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan mereka, selain meningkatkan kemahiran pengukuran, potongan, jahitan dan kerja akhir.

Visit page for original source.